Wednesday, May 16, 2012

Menyiram Jiwa...

Jiwa yang tandus, perlu disiram. Siraminya dengan ilmu dan hikmah daripada Allah S.W.T.. Tidak ternilai harganya jiwa yang Allah berikan padanya segala hikmah, dapat mengenal hakikat kemuliaan dan kehinaan seorang manusia, menyelami hakikat seorang hamba di sisi Tuhan, untuk kembali ke sisi-Nya dengan redha dan diredhai.

"Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan redha dan diredhai, ..Masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku.."
(Al-Fajr: 27-30)

Butir-butir hikmah daripada Rasulullah, para sahabat dan para alim ulama, sangat indah untuk ditatapi, direnungi, diambil pengajaran, dibuat bekal dalam menempuh badai kehidupan yang tidak terjangka.

Saturday, May 21, 2011

Awal-awal Agama Itu Mengenal Allah

Penerimaan kita ke atas agama ini pada hakikatnya adalah penerimaan kita terhadap adanya Tuhan yang Maha Kuasa dan bersifat dengan segala sifat kesempurnaan yang menjadi sumber bagi agama ini.

Justeru, bagi membentuk kefahaman yang betul terhadap agama, kefahaman itu mestilah bermula daripada kefahaman dan persepsi yang betul terhadap Tuhan dan hakikat ketuhanan.

Maka di sinilah, pentingnya kita mempelajari ilmu akidah bagi membetulkan persepsi dan pemikiran kita terhadap Tuhan dan hubungan kita dengan Tuhan.

Atas dasar inilah, kita mungkin seringkali mendengar ungkapan 'Awalludin Ma'rifatullah'(Awal-awal agama itu mengenal Allah). Atas dasar ini jugalah keutamaan dalam mempelajari ilmu agama mestilah bermula dengan keutamaan dalam mempelajari ilmu akidah merangkumi makna dan konsep akidah itu sendiri, hakikat tauhid dan hakikat syahadah.

Hanya hati yang kenal Tuhan dengan sebenarnya itulah hati yang akan tahu dan mahu untuk tunduk dan patuh kepada Tuhan, merasa kemuliaan dalam kehambaan kepada Tuhan, serta memahami hakikat kehidupan di bumi yang fana ini.

Di Sini Alam Mengajarkan Kita


ADANYA ALAM INI MENUNJUKKAN KEPADA KITA BAHAWA:

- Adanya kuasa yang mencipta dan mengatur alam ini

- Punca segala kekuasaan itu adalah satu kerana sekiranya adanya banyak kuasa yang menguasai alam ini, pasti dunia ini tidak dapat     teratur dengan sebaik-baiknya. Pemilik kuasa itu pastinya adalah yang paling berkuasa. Dia yang paling berkuasa itu pastinya adalah penyebab pertama yang tidak disebabkan lagi

- Tersusun dan teraturnya alam ini pastinya adalah mempunyai tujuan yang tertentu

- Kita tidak mampu untuk memikirkan apa yang ada di sebalik alam ini. Terlalu banyak persoalan yang tidak mampu kita fikirkan. Bahkan tidak mampu diselesaikan oleh seluruh manusia yang telah wujud semenjak ribuan tahun. Kita tidak tahupun berapa besarnya alam semesta yang dicipta oleh yang Maha Kuasa itu. Pada diri kita sendiripun, banyak yang tidak kita ketahui. Justeru, bagaimana mungkin kita dapat mengetahui hakikat zat yang Maha Kuasa itu. Lihatlah betapa kerdilnya kita. Dia yang memiliki dan menguasai segala-galanya.

- Dialah Allah, Tuhan yang menguasai alam ini. Dia adalah yang paling berkuasa. Dia menciptakan dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara. Dialah yang mengatur dan mentadbir alam ini. Dialah yang mencipta kita. Mencipta setiap daripada kita, deria kita dan segala keupayaan kita. Kekuasaannya meliputi segala-galanya. Dialah Tuhan yang Maha Melihat dan Maha Mendengar. Berkuasa melakukan segala-galanya. Tiada yang lebih sempurna daripada-Nya. Dialah pemilik segala kekuasaan dan kesempurnaan.


Lihatlah pada segenap binatang dan makhluk yang mempunyai keupayaan dan deria yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing. Keupayaan pandangan seorang manusia berbeza daripada keupayaan pandangan seekor helang dan kelawar. Begitu juga dengan keupayaan kita dalam mendengar jika dibandingkan dengan makhluk-makhluk lain dan dalam pelbagai keupayaan lagi. Apabila kita perhatikan pada diri kita, kita akan dapati adanya kelebihan dan keistimewaan manusia yang tidak didapati pada makhluk-makhluk lain.

Tuesday, April 5, 2011

Catatan Ringkas Pada Suatu Hari

Beberapa hari lepas sewaktu saya menunggu bas di TTDI Jaya, terdapat juga 2 orang pemuda turut sama di pondok bas tersebut. Kedua-duanya pada amatan saya berusia di antara 16 ke 20 tahun. Salah seorangnya berambut ala punk. Mereka sedang riuh bersembang. Entah apa isu yang dibincangkan, tidaklah saya ketahui. Sambil diselangi gelak ketawa menghilai. Salah seorangnya kemudian mengeluarkan sepuntung rokok, menyalakannya dan lantas, mereka berdua saling berkongsi menghisap sebatang rokok tersebut. Terserlah sikap pengotor apabila salah seorang mereka meludah-ludah di pondok bas tersebut. Abu rokok terus dibiarkan 'menghiasi' lantai pondok bas tersebut.

Kemudian datang seorang kanak-kanak bersama seorang wanita. Tidaklah dapat saya memastikan sama ada wanita itu adalah ibunya ataupun siapa. Apa yang pasti, wanita itu adalah orang yang bertanggungjawab terhadap kanak-kanak itu pada masa tersebut. Bersama kanak-kanak itu adalah sebungkus gula-gula. Setelah mereka duduk di pondok bas itu wanita itu membuka bungkusan yang membaluti gula-gula tersebut. Wanita itu kemudian melepaskan plastik bungkusan itu begitu sahaja ke atas lantai pondok bas itu. Kanak-kanak itu memandang apa yang dilakukan wanita tersebut dan kemudiannya tanpa berlengah mendapatkan gula-gulanya itu daripada wanita tersebut

Setelah beberapa ketika menunggu, bas rapid KL yang ditunggu tiba jua. Alhamdulillah, bas tidak sesak dan saya dapat duduk di tempat duduk yang selesa. Sebelum bas tersebut meninggalkan tempat tersebut, baki puntung rokok yang dihisap dua pemuda tadi menambah 'seri' lantai pondok bas tersebut.

Pada petangnya pula, sewaktu menunggu bas untuk pulang ke TTDI jaya, agak ramai yang bersama-sama saya di pondok bas tersebut. Ada seorang wanita yang agak berumur turut berada di pondok bas tersebut. Daripada perbualannya di telefon, saya mengetahui bahawa dia baru tiba daripada Kelang dan sedang menunggu bas ke TTDI Jaya. Wanita tersebut kelihatannya keletihan, mungkin baru balik dari mengerjakan suatu urusan yang berat. Setelah hampir sejam menungu, barulah sampai bas rapid KL U605. Terdengar suatu luahan rasa lega daripada wanita tersebut setelah sekian lama menunggu, akhirnya tiba juga bas yang ditunggu. Setibanya wanita itu di pintu bas, pemandu itu memberitahu sekalian orang yang menunggu itu, "PKNS, PKNS.". Rupanya bas itu menuju ke PKNS dan tidak ke TTDI Jaya.

Bagi anda yang masih belum mengetahui, bas Rapid KL yang lalu berhadapan Pasaraya Giant Stadium Shah Alam hanyalah bas yang bernombor U605. Namun, ada yang menuju ke haluan Puncak Perdana dan ada yang menuju ke haluan PKNS. TTDI Jaya berada di laluan ke Puncak Perdana.

Maka, terpaksalah saya dan wanita tersebut bersama ramai lagi orang yang lain menunggu bas yang seterusnya. Hampir setengah jam selepas bas tadi muncul, barulah sampai bas ke TTDI Jaya. Bas 'Rapid KL'. Mungkin tempoh masa menunggu keseluruhan lebih sejam itu dikira sebagai tempoh biasa pada pandangan pihak pengurusan Rapid KL memandangkan saya pernah beberapa kali menunggu dalam tempoh yang hampir sama. Alhamdulillah, walaupun penantian itu menyakitkan dan walaupun agak ramai orang yang menaiki bas pada petang tersebut, saya masih berpeluang untuk duduk di tempat duduk yang disediakan.

Oh.. Malaysiaku tercinta.... 

Saturday, February 26, 2011

MEMUTIKKAN CINTA KEPADA AMAL ISLAMI


Buat diriku dan rakan-rakan sekalian… di medan ini….

Menjadi kewajipan kepada kita, para petugas amal Islami untuk memimpin sasaran dakwah kita iaitulah para mad’u agar memahami keluasan konsep amal Islami yang di dalamnya terkandung kewajipan dakwah Islamiah. Namun, sikap dan pendekatan yang diterapkan perlulah dalam lingkungan yang mampu difahami oleh para mad’u itu sendiri. Perlu kita sedar bahawa mereka tidak perlu didesak untuk bergerak kerja dan berkorban, tetapi pada peringkat yang kita sebut sebagai peringkat ta’rif, mereka perlu diberi kefahaman, dijemput dan diajak untuk bergerak kerja. Memperkenalkan mereka kepada kesyumulan Islam, kewajiban dakwah dan amal Islami, menjemput serta mengajak mereka untuk bergerak kerja, semua itu adalah sesuatu yang berbeza daripada menugaskan mereka untuk bergerak kerja dengan amal Islami.

Perkara yang paling utama perlu diberi perhatian kepada para mad’u adalah penyampaian dakwah dan tarbiah kepada mereka untuk mengenal Islam, memahami Islam, dan mencintai agama ini sepertimana kita mengenal, memahami dan mencintai agama ini sehingga sanggup berjuang dan berkorban atas keyakinan kita yang mulia ini. Sebelum lahirnya kecintaan mereka untuk berjuang dalam medan amal Islami, mereka mestilah dipimpin untuk mengenali Islam, dipimpin untuk memahami Islam, dan dipimpin utuk mencintai Islam sehinggalah akhirnya, insyaAllah mereka akan tekad, bersama-sama kita mendokongi perjuangan Islam yang mulia ini.

Menjadi keutamaan kepada para penggerak amal Islami, untuk memahami sebaik-baiknya tingkatan-tingkatan tarbiah yang seringkali disebut ta’rif, takwin dan tanfiz. Juga tidak kurang pentingnya adalah untuk kita memahami tujuh peringkat dakwah yang diungkapkan oleh Al-Ustaz Mustafa Masyhur. Pastikan kita berjaya mendidik mereka mengikut tahap-tahap tersebut dengan baik. Jangan jadikan alasan ketidakfahaman kita terhadap peringkat-peringkat tarbiah dan dakwah tersebut, menyebabkan kita melangkaui peringkat-peringkat tersebut, ataupun kita berada terlalu lama pada sesuatu peringkat.

Memahami dengan baik tahap-tahap ini akan memutikkan kefahaman terhadap keperluan mad’u dan keutamaan dakwah kita. Natijah yang buruk pula akan kita hadapi apabila kita gagal memahami tingkatan-tingkatan dakwah dan akhirnya menyebabkan masalah pada masa akan datang apabila para mad’u yang diserapkan ke dalam medan amal Islami tidak mengikuti peringkat-peringkat dakwah dan pentarbiahan yang sebelumnya patut difahami dengan jelas.

Seringkali menjadi kelemahan pada diri ahli gerakan Islam kampus, setelah diberikan kesedaran dan kefahaman tentang kewajiban berdakwah, tetapi tidak berusaha mempelajari asas ataupun dasar ilmu dakwah walhal banyak panduan yang ditunjukkan dan diajar oleh tokoh-tokoh gerakan Islam yang telah terbukti perjuangan mereka dalam dakwah dan gerak kerja amal Islami.

Merasa selamat atau cukup dengan ilmu dan pengetahuan yang ada merupakan suatu penyakit bagi para penggerak amal Islami kerana setiap penggerak amal Islami yang mengatakan diri mereka mencintai dan meyakini kewajipan perjuangan Islam, pastinya akan berusaha untuk lebih memahami apa yang dicintai dan menjadi kewajipan itu, serta berusaha mendalami ilmu pengetahuan buat memperkesankan perjuangan mereka.

Setiap mereka yang mengakui mencintai jalan perjuangan Islam ini, jalan yang telah ditempuh oleh para rasul, para sahabat, tabi’ tabi’in, dan seluruh para pejuang Islam terdahulu, tidak akan terbukti kata-kata mereka itu melainkan mereka kasih kepada insan-insan yang telahpun melalui jalan perjuangan yang suci ini. Bagaimana mungkin kita mengatakan bahawa kita kasih kepada insan-insan tersebut sedangkan kita malas membelek dan meneliti pedoman-pedoman perjuangan mereka, bahkan tidak berkeinginan untuk mengenali mereka. Mereka itulah sebenarnya mata-mata rantai yag telah berusaha menyambung perjuangan Islam untuk seterusnya disambut pula oleh kita dan generasi akan datang. Mereka itu jugalah saudara akrab bagi sekalian para pejuang Islam keseluruhannya.

Petiklah panduan dakwah daripada tokoh-tokoh terdahulu dan kini. Tatapilah buah tangan yang yang disediakan sama ada oleh Ustaz Mustafa Masyhur berkenaan jalan dakwah ataupun Dr Abdul Karim Zaidan berkenaan dasar-dasar ilmu dakwah, serta lain-lain lagi yang mengupas persoalan-persoalan asas dalam gerak kerja dakwah yang perlu diberi perhatian serius oleh setiap petugas amal Islami. Tidaklah mereka itu meninggalkan catatan-catatan tersebut melainkan sebagai panduan, pedoman, pengajaran, dan perkongsian bagi kita buat menghadapi medan amal Islami yang luas ini demi bersama-sama mencapai keredhaan-Nya. Ambillah hikmah daripada mereka yang telah menempuh samudera perjuangan Islam yang luas ini.

Janganlah kononnya kita ingin berdakwah, tetapi mengenepikan usaha mempelajari asas-asas dakwah, persediaan-persediaan dakwah, disiplin-disiplin dakwah dan tahap-tahap dakwah. Janganlah kita menjadi sombong kononnya ingin membawa dakwah ini mengikut cara kita kerana waqi’ kita yang berbeza, sedangkan kita tidak punya bekal untuk menghadapi waqi’ yang berada di hadapan kita, yang sifatnya tidak pernah menjadikan kita selesa dan bermudah-mudah di atas jalan perjuangan ini. Jika kita merasa selesa dengan senang dengan jalan dakwah yang kita lalui, ketahuilah bahawa ada kelompangan yang amat besar dalam urusan dakwah yang kita katakan bahawa kita bergerak di atas jalannya, yang sebenarnya memberikan natijah yang buruk kepada usaha dakwah itu sendiri.

Bekal kita, itulah ilmu dan pengalaman. Termasuklah di dalamnya itu, yang paling utama iaitulah ilmu akidah, syariat dan akhlak. Termasuk juga di dalamnya adalah panduan- panduan daripada para ulama’, pengalaman generasi-generasi yang lepas dan saudara-saudara Islam di tempat lain, pesanan-pesanan mereka, kata-kata mereka, tulisan-tulisan mereka dan juga perjalanan kehidupan mereka yang berjuang memaknakan ubudiah ke arah menegakkan agama Allah.

Barangkali sesuatu ilmu itu kita dapati daripada mereka yang tidak pun menceburkan diri ke dalam medan amal islami. Mungkin juga ianya hadir daripada golongan bukan muslim. Tetapi tidaklah ilmu daripada golongan bukan muslim dan ilmu yang hadir daripada mereka yang tidak menceburkan diri ke dalam medan amal Islami itu sama dengan apa yang boleh kita dapati daripada golongan para pejuang Islam yang telah sekian lama berbakti, kerana hikmah yang sebenar itu adalah barang yang diberikan oleh Allah kepada hamba-Nya yang berilmu dan beramal dengan ilmu tersebut dengan sepenuh keikhlasan hanyasanya kerana Allah S.W.T..

Saturday, December 11, 2010

Pesan Dakwah

Kita adalah mata rantai dalam sejarah yang panjang. Telah berlalu sebelum kita banyak golongan yang melaksanakan amanah perjuangan Islam. Mereka berjuang dengan penuh kesungguhan, dengan keringat dan air mata, meninggalkan kepada kita bekas-bekas dan pedoman perjuangan agar kita dapat terus berjuang untuk meninggikan kalimah Allah.


Kita tidak tahu berapa lama lagi kita akan hidup. Perjuangan menegakkan Islam ini tidak akan selesai pada masa kita. Kita bukanlah golongan yang mengakhiri perjuangan Islam ini. Kita yang hidup pada masa kini perlulah berjuang atas dasar Islam yang sebenar serta memahami suasana dan keadaan. Untuk bertahan atas jalan perjuangan ini, kita perlu sentiasa beringat untuk memohon pertolongan daripada Tuhan kerana jalan ini adalah jalan yang sangat panjang.


Berbekallah kita dengan al-Quran dan ingatlah pada kematian. Manfaatkan sebaik mungkin sisa umur yang kita ada sebab kita tidak tahu berapa lama lagi kita di dunia ini. Pelbagai mehnah dan tribulasi akan datang kepada mereka yang bergerak menegakkan agama Allah. Kita tidak akan dapat menghadapinya bersendirian melainkan dengan berada dalam suatu kumpulan yang kukuh dan terpimpin.


Kita akan sampai ke destinasi yang dituju. Sama ada menang atau mati syahid sekiranya kita mengikut jalan perjuangan yang betul. Perlu kita ingat bahawa kejayaan tidak akan sampai tanpa pertolongan dan perlindungan daripada Allah S.W.T.. Walau apa juga keadaan dunia yang berlaku, Janji Allah pasti kan terjadi. Cahaya Islam akan bersinar kembali di atas muka bumi. Islam akan kembali pada tempat yang sepatutnya.


Solat adalah tiang agama. Solat mesti dijaga. Di mana sahaja kita berada dan dalam apa jua keadaan, solat menjadi kewajiban kepada setiap muslim dan syarat paling utama dalam menegakkan agama Islam.


Kita mesti menyemarakkan aktiviti dakwah serta berusaha menyedarkan masyarakat. Umat ini perlu dipimpin dengan Islam dan dengan bimbingan yang baik. Kita perlu menyeru dengan penuh hikmah agar semuanya kembali ke jalan tauhid. Umat Islam yang kini kelihatan lemah, sekiranya sedar akan tanggungjawab Islam dalam diri mereka serta tahu dan mahu melaksanakan tanggungjawab mentauhidkan Allah S.W.T., pasti akan menerima pertolongan dariapda Allah S.W.T.


Menjadi muslim adalah kehormatan yang diberikan oleh Allah daripada dulu sehingga kini. Umat muslimin yang beriman bukanlah golongan yang mudah kalah, sebaliknya adalah golongan yang ada kesedaran, keinsafan, kewaspadaan dan keperwiraan dalam menghadapi hakikat dunia. Golongan muslimin adalah golongan yang menghadapi cabaran dunia ini dengan ketenangan jiwa dan keyakinan hidup. Hanya dengan ketenangan jiwa dan keyakinan hidup yang tumbuh pada akidah yang kuat serta jalan yang jelas, kita akan berjaya menempuh kehidupan ini.


Tegakkan aqidah dalam dada umat. Suburkan ibadah. Susun umat mengikut tauladan sunnah. Jamaah itu adalah kekuatan dan kesatuan. Hamparkan kembali tikar ukhwah Islamiah dan ukhwah Imaniah dalam di kalangan umat Islam, tanamkan mahabbah dan marhamah.


Kita akan pulang memberi laporan kepada Tuhan. Kita akan dipertanggungjawabkan ke atas setiap amalan di dunia. Hidupkanlah kesinambungan dan bangkitkanlah generasi muda Islam. Tinggalkanlah segala buah hasil usaha kita di dunia buat generasi muda yang mendatang, yang akan menggantikan kita selepas kita tiada., yang akan meneruskan perjuangan kita yang belum selesai. Jangan jadi seperti pohon beringin yang ingin hidup berabad tetapi tidak memberi kesempatan kepada tunas-tunas lain tumbuh dan menguntum di sekeliling.

Risalah dan amanah Islam di atas dunia ini tidak akan selesai di tangan kita. Maka kita perlu menyediakan tenaga baru yang yang akan melanjutkan perjuangan in dengan segala keyakinan dan keperwiraan. Salah satu sebab kelemahan umat Islam ialah kerana tiada atau kurangnya watak-atak pemikir dan pejuang yang dapat menggantikan angkatan lama. Patah tumbuh hilang berganti. Jangan ada ruang kosong yang memisahkan kesinambungan perjuangan Islam.


Buat Angkatan Baru Para Pemuda,


Siapkanlah diri untuk menggantikan angkatan tua yang akan pulang tak lama lagi. Teruskanlah perjalanan juang ini dengan tenaga dan kakimu sendiri. Dada bumi cukup luas untuk menerima kehadiranmu. Penuhilah segenap udara ini ketekunan dan kesungguhan. Hadapilah tugas yang sangat berat ini dengan jiwa yang besar, daya juang yang tinggi serta api semangat yang menyala kuat.

Perkayakanlah diri dengan pengajaran masa silam. Jangan menjadi plagiator angkatan lama dan jangan menepuk dada menidakkan segala nilai dan jasa angkatan lama. Mereka kaya dengan pengalaman, pemuda kaya dengan cita-cita. Ketahuilah tentang kedudukan dan tugas kita. Laksanakanlah tugas suci ini dengan pengetahuan, keyakinan dan kesabaran. Insafilah kedudukan sebagai penyambung warisan perjuangan dalam suasana dan masa di mana kita berada.


Wahai Umat Qur’an


Aqidah kita mewajibkan kita untuk menyebarkan Islam ini. Jalankanlah amanah ini dengan kesungguhan dan ketekunan. Dunia dan kemanusiaan memerlukan pimpinan dan bimbingan. Jaga dan peliharalah ia. Bangkit dan berdirilah. Susunlah barisan dan kekuatan. Besarkanlah Tuhanmu. Tiada urusan atau kepentingan yang lebih utama daripada menjalankan perintah-Nya.


Bersihkanlah dirimu, zahir dan batin. Hanya dengan kesucian roh, tugas dan beban yang berat ini dapat dipikul. Suci dan mensucikan. Itulah peribadi mukmin sejati. Jauhilah maksiat. Kita tidak akan sanggup menghadapi Tuhan sekiranya kita tebal dan hitam dengan maksiat. Ma’ruf yang mesti tegak dan mungkar yang mesti roboh, adalah program perjuangan kita.


Jalankan tugas ini tanpa mengharapkan balasan dan ganjaran manusia. Tugas kita berbakti dan mengabdikan diri. Kerana Tuhan, kita mesti cekal atas jalan perjuangan ini. Laksanakanlah ia dengan segala kesabaran dan ketahanan. 

Jalankan tugas ini kerana hanya mengharapkan keredhaan Tuhan.


# Telah diringkaskan dan diberi pengolahan bersumber daripada pesanan Imam Hassan Al-Banna  dalam risalah bertajuk 'Usrah dan Dakwah'

Wednesday, December 8, 2010

Menyambung Legasi Perjuangan

Alhamdulillah, saat ini Allah S.W.T. masih memberikanku ruang untuk terus menatap wajah dunia, mendengar bait-bait bicara dunia yang semakin senja ini, menikmati tanda-tanda kekuasaan Allah ini sebelum kutinggalkannya buat selama-lamanya. Moga kita semua kan sentiasa beringat buat melaksanakan tugas kita sebagai hamba-NYa dalam usia yang masih berbaki ini.

Sekali lagi pada tahun ini, kita diperingatkan tentang kisah hijrah yang di dalamnya mengandungi begitu banyak pengajaran. Hijrah yang memaknakan kepada kita, erti sebuah pengabdian. Pengabdian kepada Tuhan yang milik-Nya segala kesempurnaan, kekuasaan dan kemuliaan.

Detik masa yang dilalui dalam usaha dakwah Junjungan Mulia kita, sebaik-baik manusia itu, mengalami transformasi gemilang apabila Allah S.W.T. memerintahkan hijrah dilaksanakan, kemudian dikurniakan kepada mereka kekuasaan di atas muka bumi Yathrib. Kurniaan Allah S.W.T. hasil daripada kemurnian dan keikhlasan pengabdian hamba-hamba-Nya itu. Mereka itu golongan yang teruji dengan kesempitan, kemiskinan, kesusahan, kelaparan, kesakitan, kematian sanak saudara serta pelbagai mehnah dan tribulasi.

Tatkala kita mengimbau tahun-tahun yang berlalu sebelum penghijrahan yang agung itu, kita dapati betapa ujian yang amat berat ditempuh oleh kaum muslimin dengan penuh kesabaran. Pastinya ujian yang terbesar adalah ujian yang dilalui oleh Nabi kita, Muhammad S.A.W..

Kekuasaan di muka bumi Yathrib itu diterima sebagai satu amanah buat menyempurnakan tugas selaku khalifah-Nya. Tidak terdetik pada mereka untuk menjadikan kekuasaan itu jalan mengutip walau sekelumit habuan dunia. Apa yang diperintahkan oleh Tuhan dilaksanakan dengan penuh kesungguhan disulami rasa ikhlas yang tidak berbagi. Tiadalah yang lain itu bermakna kiranya redha Allah itu gagal diperoleh. Maka mereka itu redha dengan segala ketentuan daripada Allah S.W.T. dalam melaksanakan amanah di muka bumi dan Allah S.W.T. meredhai generasi terbaik dalam sejarah kemanusiaan.

Hasil usaha perjuangan dan pengorbanan mereka, Allah S.W.T. mengurniakan kepada kita nikmat Iman dan Islam. Mereka telahpun berlalu meninggalkan kita. Justeru, legasi keagungan perjuangan mereka itu kini disambut oleh generasi yang tahu dan mahu memaknakan erti sebuah perjuangan dan pengabdian, lantas melaksanakan hak-hak Allah di atas muka bumi ini.

Moga kita menjadi sebahagian daripada generasi yang tahu dan mahu itu, demi beroleh redha-Nya pada hari yang tidak akan terselamat mereka yang lalai dalam melaksanakan amanah di dunia ini.