Wednesday, December 8, 2010

Menyambung Legasi Perjuangan

Alhamdulillah, saat ini Allah S.W.T. masih memberikanku ruang untuk terus menatap wajah dunia, mendengar bait-bait bicara dunia yang semakin senja ini, menikmati tanda-tanda kekuasaan Allah ini sebelum kutinggalkannya buat selama-lamanya. Moga kita semua kan sentiasa beringat buat melaksanakan tugas kita sebagai hamba-NYa dalam usia yang masih berbaki ini.

Sekali lagi pada tahun ini, kita diperingatkan tentang kisah hijrah yang di dalamnya mengandungi begitu banyak pengajaran. Hijrah yang memaknakan kepada kita, erti sebuah pengabdian. Pengabdian kepada Tuhan yang milik-Nya segala kesempurnaan, kekuasaan dan kemuliaan.

Detik masa yang dilalui dalam usaha dakwah Junjungan Mulia kita, sebaik-baik manusia itu, mengalami transformasi gemilang apabila Allah S.W.T. memerintahkan hijrah dilaksanakan, kemudian dikurniakan kepada mereka kekuasaan di atas muka bumi Yathrib. Kurniaan Allah S.W.T. hasil daripada kemurnian dan keikhlasan pengabdian hamba-hamba-Nya itu. Mereka itu golongan yang teruji dengan kesempitan, kemiskinan, kesusahan, kelaparan, kesakitan, kematian sanak saudara serta pelbagai mehnah dan tribulasi.

Tatkala kita mengimbau tahun-tahun yang berlalu sebelum penghijrahan yang agung itu, kita dapati betapa ujian yang amat berat ditempuh oleh kaum muslimin dengan penuh kesabaran. Pastinya ujian yang terbesar adalah ujian yang dilalui oleh Nabi kita, Muhammad S.A.W..

Kekuasaan di muka bumi Yathrib itu diterima sebagai satu amanah buat menyempurnakan tugas selaku khalifah-Nya. Tidak terdetik pada mereka untuk menjadikan kekuasaan itu jalan mengutip walau sekelumit habuan dunia. Apa yang diperintahkan oleh Tuhan dilaksanakan dengan penuh kesungguhan disulami rasa ikhlas yang tidak berbagi. Tiadalah yang lain itu bermakna kiranya redha Allah itu gagal diperoleh. Maka mereka itu redha dengan segala ketentuan daripada Allah S.W.T. dalam melaksanakan amanah di muka bumi dan Allah S.W.T. meredhai generasi terbaik dalam sejarah kemanusiaan.

Hasil usaha perjuangan dan pengorbanan mereka, Allah S.W.T. mengurniakan kepada kita nikmat Iman dan Islam. Mereka telahpun berlalu meninggalkan kita. Justeru, legasi keagungan perjuangan mereka itu kini disambut oleh generasi yang tahu dan mahu memaknakan erti sebuah perjuangan dan pengabdian, lantas melaksanakan hak-hak Allah di atas muka bumi ini.

Moga kita menjadi sebahagian daripada generasi yang tahu dan mahu itu, demi beroleh redha-Nya pada hari yang tidak akan terselamat mereka yang lalai dalam melaksanakan amanah di dunia ini.

No comments:

Post a Comment