Saturday, November 27, 2010

Abu Bakar dan Umar: Sedikit Pengajaran

Apabila kita membaca kisah kedua-dua orang sahabat yang agung, Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saidina Umar Al-Khattab, kita akan mendapati bahawa mereka mempunyai latar belakang yang amat berbeza sebelum memeluk Islam. Saidina Abu Bakar adalah seorang yang terkenal dengan kemuliaan akhlak dan budi pekertinya. Beliau menerima Islam yang disampaikan baginda Nabi S.A.W. dengan mudah dan termasuk di kalangan mereka yang awal memeluk Islam. Saidina Umar pula amat dikenali sebagai seorang panglima Quraisy yang garang dan bersifat keras. Sebelum memeluk Islam, beliau adalah seorang yang menzahirkan penentangannya terhadap perjuangan Islam. Beliau memeluk Islam setelah alunan kalamullah oleh adiknya mengetuk pintu hati beliau.

Kita mendapati bahawa mereka berdua ini kemudiannya menjadi individu yang sangat berjasa di dalam sejarah perjuangan Islam. Di sisi baginda Nabi S.A.W., mereka bersama-sama memimpin umat ke arah kemuliaan Islam dan keredhaan Allah S.W.T.. Jasa mereka tidak mungkin mampu untuk kita balas.

Saidina Abu Bakar menerima Islam dengan mudah melalui dakwah secara rahsia yang dilakukan oleh baginda Nabi pada permulaan zaman dakwah baginda. Betapa mudahnya Islam itu diterima oleh Saidina Abu Bakar. Islam yang merupakan agama fitrah dan bersifat dengan segala sifat kebaikan serta kebenaran akan mudah diterima oleh mereka yang baik dan bersifat dengan sifat-sifat yang baik. Islam amat cocok dengan mereka yang mendokongi kemuliaan fitrah insani dan menjauhkan diri daripada sifat-sifat yang berkonfrontasi dengan naluri mencintai kebaikan.

Namun itu tidak bermakna yang Islam itu hanya terbuka buat mereka baik-baik sahaja. Kita mengenal Saidina Umar sebelum keIslamannya sebagai seorang yang amat tegar dengan sifat musyriknya. Tidak mungkin untuk seseorang merapati dan menyampaikan Islam kepada Umar sepertimana Baginda Nabi S.A.W. merapati dan menyampaikan Islam kepada Saidina Abu Bakar. Maka, dakwah itu memerlukan jalan yang satu lagi.

Di sinilah kita mendapati Rasulullah menggunakan senjata yang ampuh yang dimiliki umat umat Islam iaitulah Doa. Rasulullah memohon kepada Allah dan menyerahkan kepada Allah permohonannya supaya cahaya Islam itu kan sampai kepada Insan yang tidak berupaya untuk kita dekati. Baginda Nabi S.A.W. menyedari bahawa usaha dakwah Islam pada masa tersebut memerlukan insan-insan yang mampu menguatkan lagi usaha itu sendiri dan Umar adalah individu yang amat berpengaruh dalam hal ini.

Pastinya ini pengajaran yang baik kepada individu yang bergerak dalam medan dakwah untuk sedaya upaya mendapatkan individu yang mempunyai potensi besar untuk usaha dakwah Islam. Usaha itu mungkin sukar tetapi Rasulullah mengajarkan kepada kita, bahawa kita punya senjata doa setelah mana usaha lain telah kita lakukan sehabis mungkin atau tidak terdaya untuk kita lakukan yang lebih baik lagi. Itulah dia doa buat para mad'u. Doa yang meletakkan pengharapan, keyakinan dan tawakkal kepada Allah S.W.T.. Doa menjadi ramuan pelengkap usaha dakwah.

Saidina Abu Bakar itu seorang yang sangat baik dan menjadi seorang yang sangat baik untuk Islam selepas keIslamannya. Beliau adalah sahabat nabi yang paling akrab. Beliau mempunyai hati yang lembut tetapi tegas. Tangisannya saat mengalunkan ayat-ayat Allah S.W.T. membuatkan mereka yang lalu berhampiran rumahnya turut sebak.

Maka di sini kita dapat perhatikan bahawa manusia yang dididik semenjak kecil dengan kebaikan, sepertimana Saidina Abu Bakar ,akan menjadi individu yang baik pada masa depan dan mampu menerima kebaikan dengan mudah, dapat memberi kebaikan, serta mampu menjadi contoh yang terbaik buat orang lain. Maka, pendidikan yang baik dan disulami dengan segala elemen kebaikan,menjadi faktor yang sangat penting dalam pembinaan insan.

Dakwah Islam juga tidak mustahil untuk diterima oleh setiap manusia, sekaligus menepati maksud alamiyah Islam itu sendiri, walaupun seseorang itu mungkin pernah terdidik dalam suasana yang meminggirkan kebaikan. Pancaran kebaikan Islam itu, sekiranya dikehendaki oleh Allah, pasti akan mampu mendetikkan keinsafan pada setiap jiwa.

Kisah hidup Saidina Umar mengajarkan kepada kita yang sejarah hitam yang pernah berlaku dalam kehidupan kita bukanlah perkara yang boleh menghalang kita daripada berusaha demi mendapatkan kemuliaan di sisi Allah S.W.T. Seseorang yang pernah hidup dalam kesesatan dan kemudiannya menerima cahaya Islam atas faktor kesedaran seperti mana Saidina Umar, nescaya akan sangat menghargai Islam dan Imannya.

   Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang maka dengan perkara itulah dia akan memperolehi kemanisan iman: Seseorang yang mencintai Allah dan RasulNya lebih daripada selain keduanya, mencintai seorang hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya dari kekafiran itu, sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam Neraka. 
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim dari Anas bin Malik ra)

Inilah tiga perkara yang terdapat dalam diri Saidina Umar dan para sahabat lain yang ikhlas atas jalan perjuangan Islam. Mereka amat sensitif terhadap perkara-perkara yang mengancam kemuliaan Islam dan mereka benci untuk kembali kepada kekufuran.

Atas kesedaran itu jugalah, Saidina Umar dengan penuh keinsafan memberikan suatu ucapan yang masyhur tatkala barisan tentera Islam dengan gahnya membuka kota Baitulmaqdis:

   "Kita adalah kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam, maka apabila kita mencari kemulian yang lain daripada Islam, nescaya kita akan dihinakan oleh Allah.."

1 comment: