Monday, December 14, 2009

Moga Kita Diselamatkan Daripada Fitnah Ini

Nabi Muhammad S.A.W.memberikan amaran secara khusus kepada kita tentang kedatangan Dajjal melalui beberapa hadith baginda yang sahih yang wajib kita yakini. Peringatan tentang Dajjal juga adalah perkara yang tidak pernah ditinggalkan oleh setiap Rasul apabila diutuskan kepada manusia. Saya baru sahaja selesai membaca sebuah buku bertajuk 'Membongkar Misteri Dajjal' yang ditulis oleh Muhammad Nurani Maarif.


Buku tersebut, pada pandangan saya, sangat bagus dalam merungkaikan persoalan-persoalan berkenaan dajjal, membawa kita dekat kepada ayat al-Qur'an dan Hadith baginda Nabi S.A.W., membuka dimensi baru pemikiran,serta memberikan kepada kita suatu mesej peringatan yang amat berguna untuk diambil peduli selaku umat akhir zaman. Saya amat menggalakkan rakan-rakan membaca buku tersebut. Mereka yang membaca buku tersebut pasti teruja dengan apa yang dikemukakan oeh penulisnya dan pastiya yang lebih penting, insyaAllah akan berupaya membantu kita mengenali dan bersedia menghadapi fitnah yang paling besar semenjak kelahiran Nabi Adam sepertimana yang disabdakan baginda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:

"Wahai manusia, sesungguhnya tidak ada ftnah yang lebih besar di muka bumi ini sejak dari penciptaan Adam yang melebihi dari fitnah Dajjal. Dan bahawasanya tidak ada satu Nabi pun yang diutus oleh Allah yang tidak mengingatkan umatnya tentang Dajjal, sedangkan aku Nabi yang paling akhir dan kamu adalah umat yang paling akhir. Ingatlah tidak dapat diragukan lagi Dajjal itu pasti datang di kalangan kamu..."(Hadith Sahih riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah)

Tidak banyak yang tercatat di dalam al-Qur'an akan perihal dajjal. Tetapi, Allah S.W.T. melalui lisan nabi-Nya yang mulia, memberikan kita amaran yang jelas tentang bahaya fitnah dajjal. Baginda nabi S.A.W. melalui banyak hadith telah memberikan maklumat -maklumat penting berkenaan Dajjal yang akan tiba ketika manusia dalam keadaan yang amat susah dan sulit kehidupannya . Tambahan pula umat manusia ketika itu amat lemah dalam beragama. Dajjal datang membawakan kesenangan dan kekenyangan kepada manusia yang menjadi pengikutnya.

Pada masa kini, umat Islam dipalitkan dengan pelbagai label yang menghinakan seperti pengganas, militan, ekstrimis dan pelbagai gelaran lain. Apatah lagi ketika Dajjal berkuasa. Para pengikut Dajjal akan beroleh makanan dan harta yang melimpah ruah serta pelbagai nikmat kesenangan.Umat Islam pula akan lebih dihina. Pada waktu itu, umat Islam berada di dalam saat yang paling getir. Jika kita merasakan yang fitnah dunia pada masa kinipun tidak mampu ditanggung umat, bayangkanlah bila tibanya fitnah Dajjal yang telah diiktiraf oleh Rasulullah sebagai fitnah terbesar dari semenjak kelahiran Nabi Adam.

Nabi S.A.W. bukan sahaja memberikan kepada kita amaran tentang kedatangan Dajjal. Baginda turut memberikan pesanan kepada kita, apa yang perlu bagi menghadapi fitnah Dajjal. Mulianya kasih sayang Nabi S.A.W. risau kita tak mampu menghadapi kedahsyatan fitnah Dajjal. Satu doa yang dipesan kepada kita bagi memohon perlindungan daripada fitnah Dajjal ini adalah sepertimana yang pernah saya titipkan di blog ini:

"Ya Allah, aku berlindung kepada Mu dari siksa neraka jahannam, dari siksa kubur, dari fitnah hidup dan mati, dan dari fitnah dajjal.." (Hadith riwayat Muslim) 

Dalam riwayat Abu daud dan Ahmad dengan sanad yang sahih, Nabi selalu membaca doa tersebut dalam tasyahhudnya.

Lihatlah betapa pentingnya untuk kita berlindung dari fitnah Dajjal tersebut, Nabi s.a.w seorang manusia yang secara mutlaknya mendapat lindungan dari Allah sendiri selalu memohon perlindungan dari fitnah Dajjal, sedangkan siapa kita di sisi Allah?.

Dalam suatu lagi hadith yang juga diriwayatkan oleh Muslim, Nabi S.A.W. berpesan yang bermaksud:

"Barangsiapa yang ingat (serta membaca) sepuluh ayat permulaan Surah Al-Kahfi adalah dia akan dipelihara dari fitnah Dajjal"

Suatu perkara yang perlu kita ingat di sini, Nabi S.A.W. mengucapkan hadith ini ketika baginda bersama dengan para sahabat yang memiliki kualiti iman dan tahap ihsan yang tertinggi. Justeru, gabungan iman dan ihsan pada tahap tertinggi beserta kekuatan ayat dari Surah al-Kahfi, maka fitnah Dajal tidak boleh menembusi dari posisi mana sekalipun. Adakah kita memiliki pakej ini bagi menghadapi fitnah Dajjal? Kita sendiri mampu menilai di tahap manakah tahap keimanan dan ihsan kita.

Melalui hadith nabi yang sahih juga, kita sepatutnya menyedari betapa hanya golongan nabi yang mampu mengapuskan Dajjal. Pada akhir zaman, orang-orang beriman akan bersama-sama Imam Mahdi untuk memerangi Dajjal serta para pengikutnya. Sekalipun kita memiliki pakej seperti di atas, kita hanya mampu memerangi tetapi tidak akan mampu menghapuskan Dajjal.

"..seandainya dia (Dajjal) keluar sedangkan aku berada di kalangan kamu maka akulah yang akan berhadapan dengannya bagi mewakili setiap umat Islam. Dan jika dia (Dajjal) keluar selepas kematianku, maka setiap kamu adalah penyelamat bagi dirinya sendiri (bertanggungjawab untuk melawannya) dan Allah adalah sebagai penolong kamu sekalian." (Hadith sahih riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah dari Abu Umammah)

Lebih 1400 tahun lepas, baginda memberitahu kepada kita bahawa Nabi Isa lah yang akan menghapuskan Dajjal.

“Ketika Allah telah mengutus al-Masih Ibnu Maryam, maka turunlah ia di menara putih di sebelah timur Damsyiq dengan mengenakan dua buah pakaian yang dicelup dengan waras dan za’faran, dan kedua telapak tangannya diletakkannya di sayap dua Malaikat; bila ia menundukkan kepala maka menurunlah rambutnya, dan jika diangkatnya kelihatan landai seperti mutiara. Maka tidak ada orang kafirpun yang mencium nafasnya kecuali pasti meninggal dunia, padahal nafasnya itu sejauh mata memandang. Lalu ‘Isa mencari Dajjal hingga menjumpainya di pintu Lud, lantas dibunuhnya Dajjal hingga menjumpainya di pintu Lud, lantas dibunuhnya Dajjal. Kemudian ‘Isa datang kepada suatu kaum yang telah dilindungi Allah dari Dajjal, lalu ‘Isa mengusap wajah mereka dan memberi tahu mereka tentang darjat mereka di surga.” (Hadith Sahih riwayat Muslim)

Dajjal yang muncul pada akhir zaman nanti akan didahului oleh Dajjal-dajjal kecil (pendusta) yang akan membuka jalan untuk kedatangan Dajjal. Mengikut penulis buku 'Membongkar Misteri Dajjal', dajjal-dajjal kecil ini adalah mereka yang menjalankan agenda Dajjal sebelum kemunculannya yang sebenar di petas dunia.

"Mereka bertanggungjawab melaksanakan segala kerangka kerja Dajjal yang berupa fitnah-fitnah ala konspirasi, memanipulasi suasana politik global, menyebarkan fahaman dan benih-benih sekularisme, liberalisme, rasionalisme, dan pelbagai lagi. Mereka adalah proksi-proksi Dajjal di alam dunia. Jentera dan pasukan gerakan mata satu ini bergerak di dlam semua lapangan dan bidang sehingga amat mustahil untuk dihindarkan. Melalui politik, ekonomi, pertubuhan dan gerakan, media massa, media filem dan apa lapangan sekalipun, 'gerakan mata satu' itu sudah memenuhi semua posisi" (Membongkar Misteri Dajjal: oleh Muhammad Nurani Maarif)

Diharapkan apa yang saya coretkan di sini akan menjadi peringatan buat saya dan rakan-rakan sekalian bahawa betapa perlunya kita mengikat kukuh diri kita pada Al-Qur'an dan Hadith Nabi S.A.W. supaya kita tidak terlepas daripada naungan hidayah dan petunjuk Allah S.W.T.

"Akan sentiasa ada di kalangan umatku yang berpegang teguh kepada sunnah sehingga mereka memerangi Dajjal." (Hadith riwayat Muslim dari Huzaifah)

Semoga kita, keluarga kita, generasi kita kini dan seterusnya dilindungi oleh Allah dari jatuh ke dalam fitnah Dajjal yang besar ini dan segala bentuk fitnah yang lain. Wallahu'alam.

(Wang 1 Dollar Amerika : belakang) 

No comments:

Post a Comment