Sunday, December 20, 2009

Di Situ Bermulanya...

Betapa besarnya erti Hijrah sehinggakan Saidina Umar meletakkan tahun penghijrahan ke Kota Madinah itu sebagai permulaan kalendar Islam. Hebatnya strategi, besarnya pengorbanan, tingginya keazaman, kuatnya Iman. Itulah antara yang dapat diungkapkan apabila kita menelusuri Hijrah Rasulullah S.A.W. dan para sahabat.

Hebatnya strategi penghijrahan Nabi S.A.W. Bermula dari rumah Baginda, bertemu Saidina Abu Bakar, merancang sebuah perjalanan yang mencorak sejarah, memposisikan individu-individu yang dipercayai di atas suatu misi yang getir, sehingga akhirnya menatijahkan sebuah kejayaan. Bermula dengan memilih teman, memilih jalan jauh yang jarang dilalui ke Madinah dan singgah di Gua Thur yang sempit, menggunakan penunjuk jalan bukan Islam yang dipercayai, tindakan-tindakan bijaksana di tengah perjalanan, dan pemilihan waktu yang sesuai bagi setiap tindakan yang diambil membuktikan Nabi S.A.W. sebagai seorang manusia yang merancang kemenangan.

Besarnya pegorbanan, tingginya keazaman. Meninggalkan segala harta benda, kaum keluarga dan pemilikan di tanah halaman tercinta. Sehelai sepinggang ke tanah terasing. Tidak tahu apakah yang bakal terjadi. Namun, kerana Allah dan Rasul, sebuah pengorbanan, apalah sangat ertinya.

Kuatnya Iman. Janji Allah dan Rasul pasti berlaku. Balasan baik pasti akan didapati oleh mereka yang taat dan patuh pada-Nya. Mereka, golongan yang berhijrah itu meyakininya. Bahkan penuh yakin. Walau mereka tidak mengetahui apa yang menanti mereka di bumi Yathrib itu. Bekal mereka itulah keimanan. Kejayaan itu pemberian Allah kepada hamba yang mengimani-Nya, yang mencintai-Nya, yang menuruti perintah-Nya, yang meninggalkan larangan-Nya, yang berjuang di jalan-Nya, dan yang ikhlas kepada-Nya. Mereka, para Rasul dan sahabat nabi itu, redha dengan apa yang ditentukan Allah. Maka Allah meredhai dan melakarkan nama mereka selaku umat terbaik dalam sejarah ketamadunan manusia.

Lantaran hijrah mereka, hak-hak Allah ditegakkan di Bumi Madinah, apabila Islam diberikan tempat yang sepatutnya, apabila segala usaha dicurahkan bagi menunaikan tanggungjawab hamba kepada Tuhan yang Maha Berkuasa. Di situlah bermulanya perlaksanaan hak-hak Allah di atas muka bumi ini, di situlah tercatatnya bukti kekuatan persaudaraan Islam dan di situ jugalah bermulanya saat kegemilangan Islam.

2 comments:

  1. sama-samalah kita berhijrah ke arah yang lebih baik lagi..masa untuk perubahan :)

    ReplyDelete