Friday, February 12, 2010

Muhasabah Hamba

Saya melafazkan rasa syukur saya kepada Allah S.W.T setelah tamatnya Talkshow 'Muhasabah Cinta'. Saya tidak tahu apakah yang akan terjadi selepas program ini tetapi saya bersyukur atas segala yang telah Allah tetapkan  sehinga ke saat ini. Saya juga percaya dan yakin bahawa Allah S.W.T. tidak akan pernah menganiaya hamba-Nya. Hanya hamba-Nyalah yang menganiayai diri mereka sendiri. Program ini mungkin kelihatan kecil namun pada saya besar ertinya.

Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih saya kepada para sahabat ahli jawatankuasa program serta semua yang bersama-sama untuk memastikan keberjayaan program ini. Tidak adil rasanya, setelah saya mengetahui kesungguhan sahabat saya, Syed di dalam melaksanakan program ini jika saya tidak memberikan kredit kepadanya atas usaha-usahanya menjayakan program ini bermula daripada perancangan awal program lagi sehinggalah ke saat ini. Untuk sahabat-sahabat yang lain, mungkin banyak usaha yang kalian curahkan yang tidak terlihat oleh saya. Tetapi percaya dan yakinlah, Allah S.W.T. tidak pernah terlepas pandang terhadap segala amal yang dilaksanakan oleh hamba-Nya. Sesungguhnya pandangan Allah itulah pandangan yang terbaik dan ganjaran daripada Allah itulah ganjaran yang terbaik.

Ajaran Allah yang dibawa oleh para Nabi bermula daripada Nabi Adam sehinggalah kepada Junjungan Mulia kita, Nabi Muhammad S.A.W. telah mengajarkan kepada kita erti cinta yang amat mulia. Tidak sepertimana erti cinta yang dihinakan oleh tamadun barat. Erti cinta yang hanya berorientasikan nafsu, kulit, daging, urat, tulang itulah yang menjadikan manusia itu seperti binatang bahkan mungkin lebih hina dari itu. Sebaliknya, cinta yang menjadi wasilah unuk mencapai redha-Nya, itulah cinta yang suci murni nan indah.

Benarlah seperti apa yang dikatakan oleh Ustaz Pahrol, pada masa kini banyak jalan kemaksiatan dibuka luas tetapi jalan-jalan keselamatan untuk ummat cuba disempitkan. Saya teringat ketika menjalankan suatu program latihan dakwah lapangan bersama sahabat-sahabat di Dataran Merdeka tidak lama dahulu. Mendekati rakan-rakan yang saya kira sebaya saya, dijauhkan mereka itu daripada cahaya Islam oleh perancangan jahat musuh-musuh Islam, maka menjadi tanggungjawab kepada kita yang dikurniakan kesedaran dan kelapangan ini untuk berusaha mendekatkan kembali mereka kepada cahaya Islam. Saat kami tiba, tiada siapa yang  menghalang perilaku-perilaku maksiat yang mengundang murka Alah itu daripada terus berleluasa. Ketika waktu yang lain, berdekatan kawasan itulah pernah beberapa insan yang diri mereka, ibu, ayah, dan saudara mereka dizalimi  menuntut keadilan, berpuluh-puluh makhluk bertopi merah menghentam mereka.

Saya tidak layak, bahkan langsung tidak layak untuk memasuki syurga-Nya tetapi saya juga pasti tidak akan mampu menghadapi siksa-Nya. Saya tidak mampu untuk menghadapi fitnah dunia ini bersendirian, tetapi saya tidak mahu hanyut dilanda badai yang mengganas ini. Saya memohon kepada Allah agar saya tidak terlepas daripada ikatan-Nya. Jika tidak, saya pasti menjadi insan yang paling rugi dan paling menyesal.

No comments:

Post a Comment