Wednesday, March 3, 2010

Pesan Buat Diri Saya dan Sahabat-sahabat Penggerak Dakwah MSU/PTPL

Saya berpesan kepada diri saya dan para sahabat penggerak dakwah kampus supaya sentiasa istiqamah dan thabat di sepanjang perjalanan yang benar. Bergerak atas nama dakwah di bumi yang mencabar ini memerlukan kita berbekal dengan bekal yang terbaik yang diberikan oleh Allah S.W.T. dan ditinggalkan oleh Baginda Rasulullah S.A.W.. Ustaz Mustafa Masyhur juga ada berpesan tentang keperluan bekalan bagi setiap daie di sepanjang jalan dakwah dalam salah sebuah karyanya yang utama.

 
 Buah Tangan Ustaz Mustafa Masyhur yang amat baik buat kita

Bagi yang bakal menamatkan pengajian, saya ingin mengingatkan, cabaran yang mendatang di luar sana adalah lebih mencabar. Medan perjuangan sebenar menanti di luar sana. Realiti masyarakat serta sistem yang tidak memihak kepada agama yang sejahtera tidak akan membiarkan kita berasa selesa di sepanjang perjalanan. Tidak sedikit yang tersungkur di tengah perjalanan. Moga kita tidak tergolong di kalangan mereka yang terbuang dari jalan dakwah.

Memiliki akidah yang sahih adalah perkara paling penting dalam diri seorang muslim. Apatah lagi yang bergelar daie. Apa yang kita pelajari secara formal dalam sistem pelajaran yang tidak meletakkan Islam pada tempat yang sepatutnya adalah tidak mencukupi dalam melahirkan pemikiran muslim yang sejahtera. Apatah lagi dengan pelbagai fahaman dan pengaruh pemikiran bertuhankan nafsu yang berada di sekeliling kita. Menghadiri majlis ilmu serta membaca merupakan dua perkara yang amat penting bagi kita. Para ulamak selaku pewaris nabi telah melakukan pelbagai usaha demi memastikan akidah umat Islam terus terpelihara setiap masa. Mereka mengerah tenaga dan fikiran mereka dalam memikirkan kaedah terbaik demi kesejahteraan dan keselamatan kita, umat akhir zaman.

Ciri-ciri khususi Islam, Tauhid uluhiyah, tauhid rububiyah, tauhid asma' wa sifat mungkin adalah antara perkara yang disusun oleh para ulamak yang tidak kita dapati istilah-istilah ini dalam pengajaran ketika hayat nabi S.A.W. tetapi ianya mengandungi intipati ajaran Islam yang amat penting. Ianya amat penting dalam memastikan setiap muslim itu berupaya memahami akidah Islam yang sebenar. Saya kira, rata-rata daripada kita telahpun mengetahui tentang ciri-ciri khususi Islam dan 3 pengertian tauhid di atas. Jika tidak, anda mesti berusaha memahaminya. Bahkan, jika kita merasakan kita telah memahaminya pun, itu masih tidak cukup sebenarnya untuk kesejahteraan pemikiran dan pandangan kita.

Jika kita telah belajar dan diberikan penerangan tentang hakikat Islam, maka sepatutnya wujud kesedaran dalam diri kita untuk lebih memahami hakikat agama ini. Bacalah bahan-bahan bacaan yang mampu mengasah pemikiran kita dan menambahkan pengetahuan terhadap agama ini. Ini sangat penting bagi membuka mata hati kita supaya lebih celik dalam memandang hakikat Islam yang kita yakin dengannya. Buku 'Asas-asas Islam' oleh Syeikh Abu Al-A'la Al-Maududi dan 'Apa Ertinya Saya Menganut Islam' oleh Ustaz Fathi Yakan mesti dibaca oleh setiap daripada kita.

 

Adalah tidak sepatutnya sekiranya seorang yang berada di atas jalan dakwah merasakan dirinya tidak mahu atau tidak 'sampai tahap' membaca buku ini. Apa yang terkandung di dalam buku ini merupakan perkara paling asas yang penting untuk kehidupan kita sebagai seorang muslim dan seorang daie. Ada yang beranggapan tidak perlu membaca buku di atas kerana telah berasa yakin dengan apa yang tersemat di dada. Maka saya ingin menegaskan, anggapan anda adalah salah sama sekali. Sekiranya ini pun tidak mahu dan tidak mampu dibaca, jangan berangan nak membaca karya-karya yang lebih besar dan berat.

Pembacaan buku-buku di atas juga insyaAllah akan mendorong kita untuk berada di atas suatu landasan fikrah yang lebih jelas. Kesatuan fikrah ataupun pemikiran adalah perkara yang amat penting dalam usaha untuk menghasilkan kesatuan gerak kerja Islam. Bukanlah saya taksub dengan buku-buku di atas, tetapi apa yang terkandung dalam buku-buku tersebut memang amat penting untuk kita, umat Islam masa kini. Anda akan lebih memahaminya setelah habis membaca buku-buku tersebut, InsyaAllah. 


اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَق َ(1) خَلَقَ الْإِنْسَانَ مِنْ عَلَق ٍ(2) اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ(3)الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ (4) عَلَّمَ الْإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ(5)
‘Iqra’ (bacalah) denqan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah Menciptakan manusia dari segumpal darah. Iqra’ (bacalah), dan Tuhanmu lah yang Paling Pemurah, sang Mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia Mengajarkan kepada manusia apa sang tidak diketahuinya. (Q. Al ‘Alaq: 1-5)

No comments:

Post a Comment