Tuesday, January 19, 2010

Secebis Bacaan

Saya semakin 'dahaga' untuk membaca. Terlalu banyak buku yang hendak dibaca selain daripada buku-buku akademik. Terkini saya sedang membaca buku 'Catatan Kanvas Kehidupan' oleh Ustaz Riduan Mohd Nor dan 'Kisah Cinta dalam Al-Qur'an'. Mungkin ramai di antara rakan-rakan saya yang telah membaca buku-buku tersebut. Baru kini saya berpeluang membaca buku-buku tersebut walau sudah lama berkeinginan. Saya juga baru habis membaca buku bertajuk 'Kemuliaan Al-Qur'an dan Sejarah Pemalsuannya' serta buku bertajuk 'Islam Liberal dan Pluralisme Agama'. Kedua-duanya adalah buku tulisan Ustaz Riduan Mohd Nor yang dibeli bersama rakan saya, Syed ketika forum berkenaan Palestin yang diadakan di TTDI Jaya.

Semenjak kecil, apabila ditanya apakah hobi saya, saya akan menjawab ataupun menulis, 'Membaca'  walaupun pembacaan saya bukanlah banyak manapun. Terlalu sedikit rasanya, kadar pembacaan saya kalau nak dibandingkan dengan bacaan rakan-rakan yang lain. Itu belum mengambil kira tahap intelektual bahan-bahan bacaan saya yang jika nak dibandingkan dengan kebanyakan rakan-rakan lain, pastinya masih agak ringan tahapnya.

Ketika kecil, sekitar darjah 4 ke darjah 6, saya amat meminati novel-novel penyiasatan kanak-kanak 'Siri Hadi' dan 'Siri Salma'. Pantang berjumpa, pasti habis dibaca. Semenjak kecil juga, suratkhabar menjadi bahan bacaan harian saya. Cumanya, pembacaan saya terhadap suratkhabar seringkali, tidaklah secara serius. Sekadar mengambil tahu isu-isu semasa dan beberapa bahagian yang menarik.

Apabila usia meningkat memasuki era sekolah menengah, saya mula berjinak-jinak dengan novel-novel remaja tetapi tidaklah begitu aktif. Berlakunya 'Reformasi' pada tahun 1998 membuka skop pembacaan saya  ke tahap yang lebih luas. Buku-buku satira politik karangan 'Ahmad Lutfi Othman'  dan 'Mohd Sayuti Omar' pembelian ibu, ayah dan ibubapa saudara menjadi bahan bacaan saya. Saya juga membaca buku 'Hikayat Hang Tuah' yang merupakan suatu karya klasik di Alam Melayu. Buku pemberian ayah saya bersempena harijadi saya itu, sehingga hari ini, masih belum saya habiskan pembacaannya. Saya amat teruja membaca karya tersebut pada mulanya, tapi disebabkan ketebalan dan bahasa klasiknya, membantutkan pembacaan saya. Saya masih berazam untuk menamatkannya. Beberapa buku yang menyentuh isu-isu terkini pada masa tersebut seperti 'Tersungkur di Pintu Syurga' berkenaan Al-Arqam tulisan Zabidi Mohamad yang pernah menjadi salah seorang ahlinya turut menjadi pilihan saya.

Memasuki persekolahan menengah atas di Malaysia pada tahun 2001 mewajibkan semua pelajarnya membaca novel-novel tertentu sebagai sebahagian daripada sukatan pelajaran Bahasa Melayu. Saya yang pada mulanya bersekolah tingkatan empat di Gombak diwajibkan untuk menghabiskan bacaan terhadap novel 'Bukit Kepong'. Saya amat menyukai novel tersebut dan berjaya menghabiskan pembacaan dalam masa tidak sampai sehari. Minat saya terhadap novel ketika ini semakin mendalam. Novel-novel komponen sastera tingkatan empat dan lima serta novel-novel 'hadiah utusan' yang tidak terlalu tebal kebiasaannya amat menarik perhatian saya pada masa tersebut. Ini turut didorong mungkin, oleh Makcik saya juga merupakan seorang ahli Persatuan Penulis Negeri Perlis. Saya seringkali membaca novel-novel pembeliannya tatkala pulang ke kampung.

Setelah membaca novel 'Aku Darah Anak Malaysia (A.D.A.M).', saya mula terpaut hati pada karya-karya penulisnya, Ramlee Awang Murshid yang mengenengahkan novel bergenre 'thiller'. Sehinggalah saya melanjutkan pengajian di peringkat diploma, novel-novel beliau terus menjadi pilihan ketika ke kedai-kedai buku. Saya, ketika itu, agak kecewa dengan industri novel di negara ini yang dikuasai oleh terlalu banyak novel-novel dengan genre cinta. Saya pernah membeli dan membaca novel bergenre cinta tulisan Ahadiat Akasyah bertajuk 'Lagenda Budak Setan' yang sangat tebal macam kamus. Novel tersebut yang banyak dipuji oleh pencinta-pencinta novel cinta, tidak berupaya membangkitkan keterujaan saya untuk membacanya sepertimana keterujaaan saya terhadap novel-novel lain yang saya minati (walaupun saya akhirnya berjaya menamatkan pembacaan novel tersebut).

Era universiti membuka dimensi baru pembacaan saya. InsyaAllah akan saya kongsikan dalam penulisan yang akan datang.

No comments:

Post a Comment