Showing posts with label Catatan Kehidupan. Show all posts
Showing posts with label Catatan Kehidupan. Show all posts

Tuesday, April 5, 2011

Catatan Ringkas Pada Suatu Hari

Beberapa hari lepas sewaktu saya menunggu bas di TTDI Jaya, terdapat juga 2 orang pemuda turut sama di pondok bas tersebut. Kedua-duanya pada amatan saya berusia di antara 16 ke 20 tahun. Salah seorangnya berambut ala punk. Mereka sedang riuh bersembang. Entah apa isu yang dibincangkan, tidaklah saya ketahui. Sambil diselangi gelak ketawa menghilai. Salah seorangnya kemudian mengeluarkan sepuntung rokok, menyalakannya dan lantas, mereka berdua saling berkongsi menghisap sebatang rokok tersebut. Terserlah sikap pengotor apabila salah seorang mereka meludah-ludah di pondok bas tersebut. Abu rokok terus dibiarkan 'menghiasi' lantai pondok bas tersebut.

Kemudian datang seorang kanak-kanak bersama seorang wanita. Tidaklah dapat saya memastikan sama ada wanita itu adalah ibunya ataupun siapa. Apa yang pasti, wanita itu adalah orang yang bertanggungjawab terhadap kanak-kanak itu pada masa tersebut. Bersama kanak-kanak itu adalah sebungkus gula-gula. Setelah mereka duduk di pondok bas itu wanita itu membuka bungkusan yang membaluti gula-gula tersebut. Wanita itu kemudian melepaskan plastik bungkusan itu begitu sahaja ke atas lantai pondok bas itu. Kanak-kanak itu memandang apa yang dilakukan wanita tersebut dan kemudiannya tanpa berlengah mendapatkan gula-gulanya itu daripada wanita tersebut

Setelah beberapa ketika menunggu, bas rapid KL yang ditunggu tiba jua. Alhamdulillah, bas tidak sesak dan saya dapat duduk di tempat duduk yang selesa. Sebelum bas tersebut meninggalkan tempat tersebut, baki puntung rokok yang dihisap dua pemuda tadi menambah 'seri' lantai pondok bas tersebut.

Pada petangnya pula, sewaktu menunggu bas untuk pulang ke TTDI jaya, agak ramai yang bersama-sama saya di pondok bas tersebut. Ada seorang wanita yang agak berumur turut berada di pondok bas tersebut. Daripada perbualannya di telefon, saya mengetahui bahawa dia baru tiba daripada Kelang dan sedang menunggu bas ke TTDI Jaya. Wanita tersebut kelihatannya keletihan, mungkin baru balik dari mengerjakan suatu urusan yang berat. Setelah hampir sejam menungu, barulah sampai bas rapid KL U605. Terdengar suatu luahan rasa lega daripada wanita tersebut setelah sekian lama menunggu, akhirnya tiba juga bas yang ditunggu. Setibanya wanita itu di pintu bas, pemandu itu memberitahu sekalian orang yang menunggu itu, "PKNS, PKNS.". Rupanya bas itu menuju ke PKNS dan tidak ke TTDI Jaya.

Bagi anda yang masih belum mengetahui, bas Rapid KL yang lalu berhadapan Pasaraya Giant Stadium Shah Alam hanyalah bas yang bernombor U605. Namun, ada yang menuju ke haluan Puncak Perdana dan ada yang menuju ke haluan PKNS. TTDI Jaya berada di laluan ke Puncak Perdana.

Maka, terpaksalah saya dan wanita tersebut bersama ramai lagi orang yang lain menunggu bas yang seterusnya. Hampir setengah jam selepas bas tadi muncul, barulah sampai bas ke TTDI Jaya. Bas 'Rapid KL'. Mungkin tempoh masa menunggu keseluruhan lebih sejam itu dikira sebagai tempoh biasa pada pandangan pihak pengurusan Rapid KL memandangkan saya pernah beberapa kali menunggu dalam tempoh yang hampir sama. Alhamdulillah, walaupun penantian itu menyakitkan dan walaupun agak ramai orang yang menaiki bas pada petang tersebut, saya masih berpeluang untuk duduk di tempat duduk yang disediakan.

Oh.. Malaysiaku tercinta.... 

Tuesday, March 9, 2010

Menjelang Pesta Buku...

SULTAN  'ABD AL-HAMID II DAN KEJATUHAN KHILAFAH ISLAMIAH
(Peranan Gerakan Nasionalis & Golongan Minoriti)
Kajian Sejarah dan Pemikiran Dari Tahun (1876-1909M/1293-1327H)

Sebuah Buku Yang amat Menarik Perhatian Saya Pada Pesta Buku Yang Lepas. Masih dalam proses pembacaan. Tidak tahulah berapa lama lagi akan tamat memandangkan ketebalannya yang mencecah lebih 1000 muka surat. Buku ini asalnya adalah tesis PhD oleh Dr Eeman Mohamed Abbas yang kemudiannya telah disunting dan ditambahbaikkan untuk diterbitkan dalam bentuk buku.

Dr Eeman Mohamed Abbas
B.A(Hons)(Baghdad); Dip. Sej. Moden(Cairo); MA (Punjab); PhD(Malaya)
History & Islamic Civilization During the Ottoman period
Sekarang adalah pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Antara buku-buku lain yang juga saya beli pada pesta buku yang lepas:

 

  

  

  

  
Pesta buku kali ini, saya ingin membeli beberapa buah karya yang menarik, lebih berat dan mencabar. Namun, bajet yang belum pasti mungkin membataskan keinginan ini. hmm....

Friday, February 12, 2010

Muhasabah Hamba

Saya melafazkan rasa syukur saya kepada Allah S.W.T setelah tamatnya Talkshow 'Muhasabah Cinta'. Saya tidak tahu apakah yang akan terjadi selepas program ini tetapi saya bersyukur atas segala yang telah Allah tetapkan  sehinga ke saat ini. Saya juga percaya dan yakin bahawa Allah S.W.T. tidak akan pernah menganiaya hamba-Nya. Hanya hamba-Nyalah yang menganiayai diri mereka sendiri. Program ini mungkin kelihatan kecil namun pada saya besar ertinya.

Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih saya kepada para sahabat ahli jawatankuasa program serta semua yang bersama-sama untuk memastikan keberjayaan program ini. Tidak adil rasanya, setelah saya mengetahui kesungguhan sahabat saya, Syed di dalam melaksanakan program ini jika saya tidak memberikan kredit kepadanya atas usaha-usahanya menjayakan program ini bermula daripada perancangan awal program lagi sehinggalah ke saat ini. Untuk sahabat-sahabat yang lain, mungkin banyak usaha yang kalian curahkan yang tidak terlihat oleh saya. Tetapi percaya dan yakinlah, Allah S.W.T. tidak pernah terlepas pandang terhadap segala amal yang dilaksanakan oleh hamba-Nya. Sesungguhnya pandangan Allah itulah pandangan yang terbaik dan ganjaran daripada Allah itulah ganjaran yang terbaik.

Ajaran Allah yang dibawa oleh para Nabi bermula daripada Nabi Adam sehinggalah kepada Junjungan Mulia kita, Nabi Muhammad S.A.W. telah mengajarkan kepada kita erti cinta yang amat mulia. Tidak sepertimana erti cinta yang dihinakan oleh tamadun barat. Erti cinta yang hanya berorientasikan nafsu, kulit, daging, urat, tulang itulah yang menjadikan manusia itu seperti binatang bahkan mungkin lebih hina dari itu. Sebaliknya, cinta yang menjadi wasilah unuk mencapai redha-Nya, itulah cinta yang suci murni nan indah.

Benarlah seperti apa yang dikatakan oleh Ustaz Pahrol, pada masa kini banyak jalan kemaksiatan dibuka luas tetapi jalan-jalan keselamatan untuk ummat cuba disempitkan. Saya teringat ketika menjalankan suatu program latihan dakwah lapangan bersama sahabat-sahabat di Dataran Merdeka tidak lama dahulu. Mendekati rakan-rakan yang saya kira sebaya saya, dijauhkan mereka itu daripada cahaya Islam oleh perancangan jahat musuh-musuh Islam, maka menjadi tanggungjawab kepada kita yang dikurniakan kesedaran dan kelapangan ini untuk berusaha mendekatkan kembali mereka kepada cahaya Islam. Saat kami tiba, tiada siapa yang  menghalang perilaku-perilaku maksiat yang mengundang murka Alah itu daripada terus berleluasa. Ketika waktu yang lain, berdekatan kawasan itulah pernah beberapa insan yang diri mereka, ibu, ayah, dan saudara mereka dizalimi  menuntut keadilan, berpuluh-puluh makhluk bertopi merah menghentam mereka.

Saya tidak layak, bahkan langsung tidak layak untuk memasuki syurga-Nya tetapi saya juga pasti tidak akan mampu menghadapi siksa-Nya. Saya tidak mampu untuk menghadapi fitnah dunia ini bersendirian, tetapi saya tidak mahu hanyut dilanda badai yang mengganas ini. Saya memohon kepada Allah agar saya tidak terlepas daripada ikatan-Nya. Jika tidak, saya pasti menjadi insan yang paling rugi dan paling menyesal.

Tuesday, January 19, 2010

Secebis Bacaan

Saya semakin 'dahaga' untuk membaca. Terlalu banyak buku yang hendak dibaca selain daripada buku-buku akademik. Terkini saya sedang membaca buku 'Catatan Kanvas Kehidupan' oleh Ustaz Riduan Mohd Nor dan 'Kisah Cinta dalam Al-Qur'an'. Mungkin ramai di antara rakan-rakan saya yang telah membaca buku-buku tersebut. Baru kini saya berpeluang membaca buku-buku tersebut walau sudah lama berkeinginan. Saya juga baru habis membaca buku bertajuk 'Kemuliaan Al-Qur'an dan Sejarah Pemalsuannya' serta buku bertajuk 'Islam Liberal dan Pluralisme Agama'. Kedua-duanya adalah buku tulisan Ustaz Riduan Mohd Nor yang dibeli bersama rakan saya, Syed ketika forum berkenaan Palestin yang diadakan di TTDI Jaya.

Semenjak kecil, apabila ditanya apakah hobi saya, saya akan menjawab ataupun menulis, 'Membaca'  walaupun pembacaan saya bukanlah banyak manapun. Terlalu sedikit rasanya, kadar pembacaan saya kalau nak dibandingkan dengan bacaan rakan-rakan yang lain. Itu belum mengambil kira tahap intelektual bahan-bahan bacaan saya yang jika nak dibandingkan dengan kebanyakan rakan-rakan lain, pastinya masih agak ringan tahapnya.

Ketika kecil, sekitar darjah 4 ke darjah 6, saya amat meminati novel-novel penyiasatan kanak-kanak 'Siri Hadi' dan 'Siri Salma'. Pantang berjumpa, pasti habis dibaca. Semenjak kecil juga, suratkhabar menjadi bahan bacaan harian saya. Cumanya, pembacaan saya terhadap suratkhabar seringkali, tidaklah secara serius. Sekadar mengambil tahu isu-isu semasa dan beberapa bahagian yang menarik.

Apabila usia meningkat memasuki era sekolah menengah, saya mula berjinak-jinak dengan novel-novel remaja tetapi tidaklah begitu aktif. Berlakunya 'Reformasi' pada tahun 1998 membuka skop pembacaan saya  ke tahap yang lebih luas. Buku-buku satira politik karangan 'Ahmad Lutfi Othman'  dan 'Mohd Sayuti Omar' pembelian ibu, ayah dan ibubapa saudara menjadi bahan bacaan saya. Saya juga membaca buku 'Hikayat Hang Tuah' yang merupakan suatu karya klasik di Alam Melayu. Buku pemberian ayah saya bersempena harijadi saya itu, sehingga hari ini, masih belum saya habiskan pembacaannya. Saya amat teruja membaca karya tersebut pada mulanya, tapi disebabkan ketebalan dan bahasa klasiknya, membantutkan pembacaan saya. Saya masih berazam untuk menamatkannya. Beberapa buku yang menyentuh isu-isu terkini pada masa tersebut seperti 'Tersungkur di Pintu Syurga' berkenaan Al-Arqam tulisan Zabidi Mohamad yang pernah menjadi salah seorang ahlinya turut menjadi pilihan saya.

Memasuki persekolahan menengah atas di Malaysia pada tahun 2001 mewajibkan semua pelajarnya membaca novel-novel tertentu sebagai sebahagian daripada sukatan pelajaran Bahasa Melayu. Saya yang pada mulanya bersekolah tingkatan empat di Gombak diwajibkan untuk menghabiskan bacaan terhadap novel 'Bukit Kepong'. Saya amat menyukai novel tersebut dan berjaya menghabiskan pembacaan dalam masa tidak sampai sehari. Minat saya terhadap novel ketika ini semakin mendalam. Novel-novel komponen sastera tingkatan empat dan lima serta novel-novel 'hadiah utusan' yang tidak terlalu tebal kebiasaannya amat menarik perhatian saya pada masa tersebut. Ini turut didorong mungkin, oleh Makcik saya juga merupakan seorang ahli Persatuan Penulis Negeri Perlis. Saya seringkali membaca novel-novel pembeliannya tatkala pulang ke kampung.

Setelah membaca novel 'Aku Darah Anak Malaysia (A.D.A.M).', saya mula terpaut hati pada karya-karya penulisnya, Ramlee Awang Murshid yang mengenengahkan novel bergenre 'thiller'. Sehinggalah saya melanjutkan pengajian di peringkat diploma, novel-novel beliau terus menjadi pilihan ketika ke kedai-kedai buku. Saya, ketika itu, agak kecewa dengan industri novel di negara ini yang dikuasai oleh terlalu banyak novel-novel dengan genre cinta. Saya pernah membeli dan membaca novel bergenre cinta tulisan Ahadiat Akasyah bertajuk 'Lagenda Budak Setan' yang sangat tebal macam kamus. Novel tersebut yang banyak dipuji oleh pencinta-pencinta novel cinta, tidak berupaya membangkitkan keterujaan saya untuk membacanya sepertimana keterujaaan saya terhadap novel-novel lain yang saya minati (walaupun saya akhirnya berjaya menamatkan pembacaan novel tersebut).

Era universiti membuka dimensi baru pembacaan saya. InsyaAllah akan saya kongsikan dalam penulisan yang akan datang.

Monday, November 16, 2009

Dajjal dan ...

Malam isnin lepas, saya mendengar ceramah bersiri berkenaan Dajjal. Rasulullah S.A.W. menceritakan panjang lebar berkenaan kisah Dajjal ini di dalam beberapa hadith baginda. Antara yang diberitahu oleh Rasulullah ialah apabila Dajjal mula-mula muncul, ia akan mengatakan dirinya sebagai nabi. Kemudiannya, dia menamakan dirinya sebagai Tuhan. Pengikut-pengikut Dajjal hdup senang lenang manakala orang-orang yang teguh keimanannya, tidak mengikuti Dajjal, hidup dalam kedhaifan. Banyak lagi perkara-perkara yang dbawa oleh Dajjal yag semuanya berbentuk kesenangan. Boleh rujuk kisahnya daripada banyak sumber.

Suatu yang menarik perhatian saya daripada ceramah tersebut ialah pertanyaan daripada sahabat nabi kepada baginda berkenaan apa yang dimakan oleh orang beriman ketika datangnya Dajjal. Diriwayatkan dalam satu hadith riwayat Ibnu Majah, penyokong Dajjal akan memiliki segunung roti (makanan) sedangkan orang yang tidak percaya dengannya berada dalam kelaparan dan kebuluran. Dalam hal ini, para sahabat Rasullullah s.a.w. bertanya:”Jadi apa yg dimakan oleh org Islam yg beriman pada hari itu wahai Rasulullah? “Nabi menjawab:”Mereka akan merasa kenyang dengan bertahlil, bertakbir, bertasbih dan bertaubat. Jadi zikir-zikir itu yang akan menggantikan makanan.” Pertanyaan daripada sahabat nabi tersebut menunjukkan betapa kuatnya ikatan persaudaraan Islam yang wujud dalam diri para sahabat. Betapa mereka memikirkan keadaan-keadaan saudara mereka walaupun tidak mengetahui siapa dan di manakah saudara seIslam mereka itu berada.

Bagaimana pula orang Islam ketika itu boleh berasa kenyang dengan perkara-perkara tersebut? Secara logiknya, perkara ini tidak masuk dek akal. Di sini ingin saya berkongsi tentang kisah seorang pejuang Islam.

Zainab Al-Ghazali (Sumber: islamonline.net)

Zainab Al-Ghazali, dalam bukunya, Hari-hari Dalam Hidupku ada menceritakan satu peristiwa menarik yang berkaitan dengan jawapan nabi dalam hadith di atas. Ketika berada di dalam penjara, Zainab Al-Gazali pernah tidak diberi makan selama seminggu. Dia merasa tersangat lapar pada waktu tersebut. Selama waktu itu juga, dia tidak putus-putus berzikir kepada Allah. Kemudian pada suatu hari, beliau telah bermimpi. Beliau bermimpi diberikan makanan lantas memakannya. Apabila sahaja beliau terjaga daripada mimpinya, didapati bibirnya basah dan beliau sudah tidak kelaparan.

Bagaimana kita melihat pertautan kisah -kisah di atas?

Saya sudahi tulisan saya kali ini di sini untuk sama-sama kita memikirkannya.Wallahu'alam.

Friday, November 13, 2009

Cakap Biar Habis

"Sate 10 ye..". saya memesan kepada pelayan tersebut. Saiful menunjukkan muka 'semacam'.  "Apasal pulak saiful ni..", bisik saya di dalam hati. Malam tersebut, saya serta Badrulhisyam bersama Saiful dan keluarganya keluar makan malam di sebuah medan selera yang terletak di Pekan. Saya dan Bad ke Pekan di negeri terbesar di semenanjung tanah air tercinta untuk menuntut sedikit ilmu keusahawanan berkaitan penternakan sumber makanan. Beberapa hari kami menetap di rumah Saiful sebelum ke tempat latihan. Sambil menunggu, Bad berbual di telefon barunya bersama seseorang di kejauhan. Saya melihat suasana sekeliling medan selera tersebut. Hujan yang lebat membasahi bumi ciptaan Allah yang Maha Esa. Bertuahnya bumi ini yang mana makhluknya masih diberi rahmat oleh Tuhan yang Maha Pemurah.

Setelah beberapa ketika, sampailah makanan kegemaran rakyat Malaysia yang berlidi itu. "Wow! banyaknya. Ini bukan sepuluh. Ni berpuluh-puluh.". cetus saya. Saya dan Bad terkejut melihat berpuluh-puluh cucuk sate yang sampai di dalam dua pinggan. "Korang masing-masing mintak sampai sepuluh ringgit, banyak nilah", lebih kurang begitulah Saiful menyatakan. Rupa-rupanya 10 yang kami pesan tu diertikan sebagai sepuluh ringgit di sini, walhal kami mengertikan 10 cucuk sebenarnya. Ai... malu benar rasanya. Pertamanya kepada keluarga Saiful yang membelanja kami pada malam itu dan yang keduanya kepada pelayan dan tuan kedai tersebut. Mungkin inilah kali pertama mereka melihat (menganggap) seseorang memesan sehingga sebanyak itu hanya untuk makan seorang.Akhirnya, terpaksalah dibungkus sate yang berlebihan itu. Mujurlah selepas itu kami berpeluang menjelaskan kepada ibu dan bapa saiful tentang situasi sebenarnya.

Itulah suatu kisah. yang telah berlaku pada tahun lepas. Ketika kami bertiga masih bujang. Kini, mereka telah berumahtangga . Tinggallah saya yang masih bujang. Pengajarannya: cakap biar habis biar habis. Apa yang ingin kita sampaikan, cubalah terangkan dengan sebaik mungkin. Di mana sahaja kita pergi, berusahalah memahami situasi dan keadaaan di tempat tersebut. Moga-moga tidak berlaku miss communication. Ada apa-apa tambahan lagi? sekadar itulah tulisan saya pada kali ini. Wallahu'alam.